KUALA SELANGOR – Peranan Kesatuan Pembantu Tadbir (Pendidikan) Semenanjung Malaysia (Keptan) Cawangan Kuala Selangor amat penting dalam membantu pihak sekolah.
Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim menjelaskan, peranan dan kepekaan Keptan penting bagi membantu mengurangkan risiko bahaya di sekolah.
Menurutnya, merujuk kepada laporan yang mendedahkan 402 sekolah hotspot dikenal pasti berisiko terdedah dengan jenayah dan lebih membimbangkan, Selangor mencatat 76 sekolah.
“Selangor mencatatkan bilangan hotspot tertinggi sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak termasuk Keptan dalam membantu sebaik mungkin meningkatkan keselamatan sekolah.
“Kerjasama Keptan cukup penting bagi menjaga nama baik organisasi masing-masing khususnya yang berkhidmat di sekolah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Keptan Cawangan Kuala Selangor Kali ke-22.
Irmohizam berkata, jawatan pembantu tadbir bahagian pendidikan ini penting untuk organisasi sekolah seiring memikul amanah untuk membantu menerajui pentadbiran sekolah.
“Dengan tanggungjawab itu, sudah semestinya tahap komitmen kerja, pengetahuan dan tingkah laku Pembantu Tadbir perlu sentiasa cemerlang dan konsisten. Selaras dengan itu, mesyuarat agung seperti ini penting untuk menguruskan segala usul dan aduan yang dibangkitkan selain menggalakkan penganjuran kursus serta latihan pada masa akan datang.
“Usaha ini penting bagi meningkatkan kemahiran dan profesionalisme dalam kalangan ahli Keptan untuk melaksanakan tugas selaras transformasi dalam perkhidmatan awam. Pada masa sama, kebajikan mereka turut dibela sebaik mungkin melalui saluran sumbangan tabung Keptan untuk golongan yang bersara,” katanya.
Irmohizam turut berharap Keptan dapat bersama dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memberikan pendidikan yang terbaik kepada seluruh rakyat khususnyakepada warga penduduk Kuala Selangor.
“Saya sentiasa memandang Keptan sebagai pemudah cara dan sokongan kepada pentadbiran kerana sistem pendidikan merupakan tunjang pembangunan negara,” katanya yang turut meluluskan meluluskan RM4,000 untuk Tabung Keptan sebagai tanda sokongan.
No comments:
Post a Comment